Saturday, June 7, 2008

Peranan Pegawai Pemantau Harga

Peranan Pegawai Pemantau Harga
Oleh: Fauziaton Azlin


Seramai 2000 orang graduan yang berlatarbelakangkan akademik yang cemerlang telah dilantik untuk menjawat jawatan sebagai Pegawai Pemantau Harga di seluruh Malaysia. Ketika ini, para pegawai telah menjalankan tugas dengan cemerlang kerana pelbagai isu dapat dianalisa berdasarkan data laporan harian yang dipantau. Isu-isu kenaikan barang keperluan akan dianalisa diperingkat setiap negeri termasuklah negeri Perak.

Diperingkat Negeri Perak;


Tugasan Pemantauan diselaraskan mengikut Referal Point. Referal Point ini dipecahkan mengikut setiap daerah di negeri Perak. Setakat ini 8 daerah terlibat secara terus dan setiap pemantauan yang dijalankan dilaporkan semula di peringkat cawangan Ipoh. Cawangan Ipoh bertindak sebagai Pusat Integrasi Maklumat Pemantauan Barang-Barang Keperluan. Maklumat yang dilaporkan akan dikumpul serta dianalisa untuk dihantar ke sekretariat MHBN di Putrajaya untuk tindakan selanjutnya. Tugasan pemantauan adalah berdasarkan 350 jenis barangan keperluan, 8 Jenis Barang Kawalan serta Sedia Masak (Restoran).


Berdasarkan pemantauan oleh para Pegawai Pemantau Harga, corak kenaikan harga pada barangan keperluan tertentu telah dapat dikesan lebih awal. Sebagai contoh kenaikan harga ayam yang ketara telah dilaporkan di peringkat Negeri Perak sebelum perkara itu terus dilaporkan ke Ibu Pejabat di Putrajaya.


Laporan yang dihantar oleh para pegawai merupakan sumber utama kerajaan untuk menganalisa kenaikan dan penurunan harga barang serta kekurangan stok bekalan barangan tertentu sebagai contoh tepung gandum, gula, ayam, minyak masak Keseriusan pihak kerajaan perlu dihargai kerana ianya langkah terbaik dalam mengkaji senario kenaikan harga serta bekalan sama ada diperingkat pengilang, pembekal, pemborong atau peruncit.


Peranan Pegawai Pemantau Harga di bawah Majlis Harga Barang Negara tidak boleh dipertikai sewenang-wenangnya. Pegawai Pemantau adalah sumber utama pihak kerajaan dalam mengenalpasti kedudukan harga serta bekalan barangan tertentu kerana keupayaan mereka mendapatkan data primer daripada pembekal mahupun peruncit. Justeru langkah kerajaan untuk melaksanakan tindakan bersepadu di antara penguatkuasa KPDNHEP dan pasukan pemantau harga adalah dialu-alukan.

No comments: