Wednesday, June 11, 2008

Analisa Ringkas berhubung Isu Tepung Gandum di Negeri Perak.

Analisa Ringkas berhubung Isu Tepung Gandum di Negeri Perak.

Oleh KPPH, MHBN IPOH.
Tepung gandum merupakan salah satu ramuan utama dalam penyedian makanan seperti mee, kek, roti canai dan sebagainya. Tepung gandum terbahagi kepada dua kategori iaitu GP (General Purpose) dan Non-GP (Kandungan protein tinggi, vitamin, kalsium, dan zat besi). Kebiasaannya tepung gandum jenis Non-GP digunakan untuk membuat kek dan juga mee, manakala jenis tepung gandum GP pula sering digunakan untuk membuat roti canai, dan kuih-muih.

Permintaan yang tinggi terhadap tepung gandum menyebabkan harga tepung gandum mengalami kenaikan yang agak ketara terutama jenis Non-GP. Tepung gandum (GP) adalah tepung yang dikawal oleh pihak kerajaan. Harga siling untuk GP pada harga runcit ialah RM1.35/kg (RM33.75/25kg) Manakala Tepung Non-GP tidak dikawal oleh kerajaan, harganya diantara RM2.30-2.70/kg. Sekadar menyebut contoh, tepung GP dan Non-GP telah dipasarkan dalam pelbagai jenama dipasaran tempatan seperti Cap Basikal (GP), Cap Bunga Raya (GP), Blue Key(GP), dan Sauh (Non-GP).

Hasil tinjauan bekalan tepung gandum di 8 daerah mendapati bekalan semakin berkurangan di Negeri Perak terutama diTapah, Gerik dan Parit Buntar. Corak kekurangan stok bekalan GP seolah-olah disengajakan oleh pembekal utama kerana hanya Tepung GP yang dikawal oleh pihak kerajaan. Senario kekurangan bekalan tepung di Hulu Perak telah menyebabkan harga Tepung Gandum melepasi harga siling iaitu sekitar 1.50/kg atau RM 40.00/25kg (1 guni) atas sebab permintaan yang tinggi daripada pengguna.

Para Pegawai Pemantau Harga juga mencadangkan satu penyelarasan semula atau kajian lebih terperinci dapat dilakukan dengan kadar segera bagi mengatasi masalah ini. Selain itu, tepung gandum Non-GP perlu diletakkan pada harga siling supaya ianya tidak menjadi beban kepada pengguna atau pengusaha makanan seperti mee, roti, dan kek. Beban yang ditanggung oleh pengusaha makanan ini akan mendesak mereka menaikkan harga barangan jualan mereka dan ini akan membebankan pengguna itu sendiri.

Bagi mengatasi masalah tepung gandum (GP), satu mekanisme lain perlu diatur seperti memastikan pengilang tepung gandum mengeluarkan tepung gandum mencukupi untuk pasaran supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang seperti menggantung lesen perniagaan serta kompaun yang setimpal.

Sebagai alternatif lain, pihak kerajaan boleh mengesyorkan kepada pengilang menjual Tepung GP dalam bentuk bungkusan paket 1kg. Rentetan itu, satu label warna bagi Tepung GP dan Non-GP sebagai contoh label biru (GP) dan label merah jambu (Non-GP). Setidak-tidaknya ini dapat membantu pengguna mengenalpasti apakah yang dimaksudkan dengan GP dan Non-GP atau yang mana dikawal atau tidak dikawal oleh kerajaan. Label yang bersistematik ini dapat membantu mempermudahkan pemantauan dan menyenangkan pembeli yang selama ini masih keliru dengan terma GP dan Non-GP yang dimaksudkan oleh pihak kerajaan.

2 comments:

PPH Lahad Datu said...
This comment has been removed by the author.
Zaene said...

good idea, share some more. We other PPH will surely support u.
Nway, i suggest we get stickers like what they did on rice, so that commoners will know GP and NGP flour.