Wednesday, June 11, 2008

Analisa Ringkas berhubung Isu Tepung Gandum di Negeri Perak.

Analisa Ringkas berhubung Isu Tepung Gandum di Negeri Perak.

Oleh KPPH, MHBN IPOH.
Tepung gandum merupakan salah satu ramuan utama dalam penyedian makanan seperti mee, kek, roti canai dan sebagainya. Tepung gandum terbahagi kepada dua kategori iaitu GP (General Purpose) dan Non-GP (Kandungan protein tinggi, vitamin, kalsium, dan zat besi). Kebiasaannya tepung gandum jenis Non-GP digunakan untuk membuat kek dan juga mee, manakala jenis tepung gandum GP pula sering digunakan untuk membuat roti canai, dan kuih-muih.

Permintaan yang tinggi terhadap tepung gandum menyebabkan harga tepung gandum mengalami kenaikan yang agak ketara terutama jenis Non-GP. Tepung gandum (GP) adalah tepung yang dikawal oleh pihak kerajaan. Harga siling untuk GP pada harga runcit ialah RM1.35/kg (RM33.75/25kg) Manakala Tepung Non-GP tidak dikawal oleh kerajaan, harganya diantara RM2.30-2.70/kg. Sekadar menyebut contoh, tepung GP dan Non-GP telah dipasarkan dalam pelbagai jenama dipasaran tempatan seperti Cap Basikal (GP), Cap Bunga Raya (GP), Blue Key(GP), dan Sauh (Non-GP).

Hasil tinjauan bekalan tepung gandum di 8 daerah mendapati bekalan semakin berkurangan di Negeri Perak terutama diTapah, Gerik dan Parit Buntar. Corak kekurangan stok bekalan GP seolah-olah disengajakan oleh pembekal utama kerana hanya Tepung GP yang dikawal oleh pihak kerajaan. Senario kekurangan bekalan tepung di Hulu Perak telah menyebabkan harga Tepung Gandum melepasi harga siling iaitu sekitar 1.50/kg atau RM 40.00/25kg (1 guni) atas sebab permintaan yang tinggi daripada pengguna.

Para Pegawai Pemantau Harga juga mencadangkan satu penyelarasan semula atau kajian lebih terperinci dapat dilakukan dengan kadar segera bagi mengatasi masalah ini. Selain itu, tepung gandum Non-GP perlu diletakkan pada harga siling supaya ianya tidak menjadi beban kepada pengguna atau pengusaha makanan seperti mee, roti, dan kek. Beban yang ditanggung oleh pengusaha makanan ini akan mendesak mereka menaikkan harga barangan jualan mereka dan ini akan membebankan pengguna itu sendiri.

Bagi mengatasi masalah tepung gandum (GP), satu mekanisme lain perlu diatur seperti memastikan pengilang tepung gandum mengeluarkan tepung gandum mencukupi untuk pasaran supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang seperti menggantung lesen perniagaan serta kompaun yang setimpal.

Sebagai alternatif lain, pihak kerajaan boleh mengesyorkan kepada pengilang menjual Tepung GP dalam bentuk bungkusan paket 1kg. Rentetan itu, satu label warna bagi Tepung GP dan Non-GP sebagai contoh label biru (GP) dan label merah jambu (Non-GP). Setidak-tidaknya ini dapat membantu pengguna mengenalpasti apakah yang dimaksudkan dengan GP dan Non-GP atau yang mana dikawal atau tidak dikawal oleh kerajaan. Label yang bersistematik ini dapat membantu mempermudahkan pemantauan dan menyenangkan pembeli yang selama ini masih keliru dengan terma GP dan Non-GP yang dimaksudkan oleh pihak kerajaan.

Saturday, June 7, 2008

ISU BERAS

ISU BERAS

Ketika ini beras menjadi isu paling hangat diperkatakan, semuanya gara-gara kenaikan harga beras di pasaran dunia. Krisis beras semakin meruncing apabila beberapa negara pengeluar utama beras dunia seperti China, Mesir, Vietnam dan India bertindak menghadkan eksport beras untuk memastikan mereka mampu menyediakan makanan itu untuk rakyat mereka sendiri.Harga beras di negara ini pula dilaporkan meningkat antara 10 hingga 20 peratus sejak kebelakangan ini. Namun setakat ini belum lagi berlaku pembelian cemas beras di kalangan masyarakat pengguna negara ini.Mungkin masyarakat pengguna negara ini yakin dengan jaminan yang dibuat oleh kementerian-kementerian yang terbabit dengan komoditi ini yang berkali-kali menyatakan bahawa stok beras negara adalah mencukupi.Malaysia dilaporkan mengimport antara 700,000 hingga 800,000 tan beras setahun sebagai tambahan kepada 1.1 juta tan yang dihasilkan. Negara utama untuk import beras Malaysia sudah semestinya Thailand (antara 50 hingga 60 peratus) manakala bakinya daripada China, Vietnam, Myanmar, India dan Pakistan.
(Sumber Bernama)

Peranan Pegawai Pemantau Harga

Peranan Pegawai Pemantau Harga
Oleh: Fauziaton Azlin


Seramai 2000 orang graduan yang berlatarbelakangkan akademik yang cemerlang telah dilantik untuk menjawat jawatan sebagai Pegawai Pemantau Harga di seluruh Malaysia. Ketika ini, para pegawai telah menjalankan tugas dengan cemerlang kerana pelbagai isu dapat dianalisa berdasarkan data laporan harian yang dipantau. Isu-isu kenaikan barang keperluan akan dianalisa diperingkat setiap negeri termasuklah negeri Perak.

Diperingkat Negeri Perak;


Tugasan Pemantauan diselaraskan mengikut Referal Point. Referal Point ini dipecahkan mengikut setiap daerah di negeri Perak. Setakat ini 8 daerah terlibat secara terus dan setiap pemantauan yang dijalankan dilaporkan semula di peringkat cawangan Ipoh. Cawangan Ipoh bertindak sebagai Pusat Integrasi Maklumat Pemantauan Barang-Barang Keperluan. Maklumat yang dilaporkan akan dikumpul serta dianalisa untuk dihantar ke sekretariat MHBN di Putrajaya untuk tindakan selanjutnya. Tugasan pemantauan adalah berdasarkan 350 jenis barangan keperluan, 8 Jenis Barang Kawalan serta Sedia Masak (Restoran).


Berdasarkan pemantauan oleh para Pegawai Pemantau Harga, corak kenaikan harga pada barangan keperluan tertentu telah dapat dikesan lebih awal. Sebagai contoh kenaikan harga ayam yang ketara telah dilaporkan di peringkat Negeri Perak sebelum perkara itu terus dilaporkan ke Ibu Pejabat di Putrajaya.


Laporan yang dihantar oleh para pegawai merupakan sumber utama kerajaan untuk menganalisa kenaikan dan penurunan harga barang serta kekurangan stok bekalan barangan tertentu sebagai contoh tepung gandum, gula, ayam, minyak masak Keseriusan pihak kerajaan perlu dihargai kerana ianya langkah terbaik dalam mengkaji senario kenaikan harga serta bekalan sama ada diperingkat pengilang, pembekal, pemborong atau peruncit.


Peranan Pegawai Pemantau Harga di bawah Majlis Harga Barang Negara tidak boleh dipertikai sewenang-wenangnya. Pegawai Pemantau adalah sumber utama pihak kerajaan dalam mengenalpasti kedudukan harga serta bekalan barangan tertentu kerana keupayaan mereka mendapatkan data primer daripada pembekal mahupun peruncit. Justeru langkah kerajaan untuk melaksanakan tindakan bersepadu di antara penguatkuasa KPDNHEP dan pasukan pemantau harga adalah dialu-alukan.

Sepintas lalu : Majlis Harga Barang Negara

Mukadimah

Majlis Harga Negara, adalah suatu badan yang diwujudkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bertujuan untuk menstabilkan harga barangan keperluan pada 22 Januari 2008. Dua mekanisme yang akan digunakan iaitu kewujudan Stok Simpanan Kebangsaan dan Pusat Panggilan Kebangsaan bagi memastikan bekalan barangan keperluan di negara ini mencukupi dengan harga yang stabil.Sebenarnya, penubuhan MHN telah dipersetujui pada mesyuarat Kabinet 9 Januari lalu dan ia merupakan satu jawatankuasa tertinggi dengan segala keputusannya perlu dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan dan diterima pakai oleh sektor swasta berasaskan peruntukan undang-undang.

Pada 23 Januari 2008, kumpulan pakar yang diterajui oleh Datuk Dr. Kamal Salleh diwujudkan pula untuk berperanan utama untuk mencari pendekatan menstabilkan harga barangan di pasaran, selain memastikan inflasi tidak meningkat sehingga menjejaskan kuasa beli rakyat.[1]Menurut beliau, antara isu yang akan diutamakan adalah melihat semula peranan subsidi dalam mempengaruhi pasaran.

Dua inisiatif penting dalam menyelaras penubuhan MHBN ialah dengan mewujudkan 2 perkara utama iaitu Stok Penimbal Kebangsaan, dan Pusat Panggilan Kebangsaan.

Stok Penimbal Kebangsaan
Stok Simpanan Kebangsaan dinamakan semula sebagai Stok Penimbal Kebangsaan. Ia berperanan menyimpan barang-barang keperluan yang tertentu agar ia boleh diagihkan kepada rakyat ketika bekalan di pasaran tidak mencukupi.[4]Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menjamin bahawa ia tidak akan menyebabkan harga barangan keperluan lain yang tidak tersenarai sebagai barang kawalan meningkat di pasaran. Agensi khas yang dikenali sebagai Badan Stok Penimbal Negara (BSPN) akan ditubuhkan bagi menguruskan penyimpanan barangan keperluan di gudang milik kerajaan dan swasta sedia ada. Stok Simpanan seperti Minyak masak dan gula merupakan antara barangan keperluan pengguna yang dikenal pasti boleh dijadikan stok simpanan di bawah inisiatif Stok Penimbal Kebangsaan kerana penggunaan dua barangan tersebut amat meluas di kalangan masyarakat pengguna serta tahan lama.

Pusat Panggilan Kebangsaan
Pusat Panggilan Kebangsaan pula akan menerima segala aduan pengguna mengenai sebarang masalah mengenai harga dan bekalan barangan keperluan di pasaran.
-end-

(sumber wikipedia)